Silap

Setiap orang akan diuji dengan masalah. 
Terlalu banyak hal yang bermain di kepala, 
yang datang menyinggah tatkala kita tidak bersedia. 
Waktu itu, 
kita pasti fikir kita boleh tangani masalah sendiri
dan cuba yakinkan diri, 
"Aku sebenarnya baik-baik sahaja"


Tapi kita silap. 
Kita bahkan tak tahu cara untuk menghadapinya, 
masih terpinga-pinga mencari jalan penyelesaian.
Dengan naifnya, 
kita membiarkan masalah kecil membesar,
sehingga ia mula memburuk dalam jiwa, 
semakin membusuk,
dan akhirnya dibiarkan berpanjangan tanpa noktah. 

Yang paling teruk adalah apabila kita membiarkan diri dibelenggu masalah 
dengan cara menjauhkan diri daripada orang lain,
mengurung diri di dalam ruang yang tiada cahaya, 
mengasingkan diri daripada manusia, 
berdiam diri, tiada daya untuk bercerita. 
Mungkin masing-masing ada caranya tersendiri; 
cara untuk mengubati diri,
takut untuk meluah pada orang yang salah.

Boleh, 
tidak salah.
Tapi jangan sampai kita meletakkan duri di setiap jalan yang kita lalui, 
dan melukakan orang yang menyusur di belakang tanpa sedar. 
Mungkin pada waktu itu kita fikir, 
itu adalah jalan yang terbaik. 

Silap. 
Pada akhirnya, 
kita akan sedar bahawa kita tak mampu. 
Silap besar bila kita lupa yang kita ini manusia.




Popular Posts