Gelap

Aku pernah berada di waktu gelapku, 
di mana sengaja aku tutup rapat mata,
takut untuk mencelik.

Takut bila aku buka mata, 
pandangan aku masih gelap; kosong, 
tiada cahaya yang kelihatan di hadapan. 
Itulah yang berlaku setiap kali aku berada dalam fasa itu: 
masih berdiri di tempat yang sama,
terpinga-pinga mencari sesuatu untuk aku pegang.
Kerana apa yang aku lihat hanyalah ruang kosong, 
gelap, 
dan hanya gema nafasku yang kedengaran.

Ya, aku takut apabila fikiranku terus-menerus begitu.
Fikiran yang aku cipta sendiri, 
dek kerana terlalu memandang dunia.
Dunia gelap yang aku bina, 
sehingga cahaya pun tidak berani menyapa.

Berat kaki untuk melangkah ke hadapan,
takut terjerumus ke dalam lubang dalam yang tidak kelihatan.

Kenapa begitu?
Jawapan yang selama ini aku cari dan aku gali, 
rupa-rupanya hanya berada di hadapanku.
Yang sabar menunggu untuk aku lihat dan buka mata.
Yang menanti aku sedar bahawa ruang yang dulu aku lihat kosong, 
sebenarnya penuh dengan hiasan dan bunga.

Terkedu aku, 
hingga menyedarkan aku bahawa apa yang ada di hadapan ini sangat indah.
Ya, cukup indah.
Sesuatu yang selama ini aku tutup rapat mata untuk melihatnya.
Angkuhnya aku pada Pencipta.
Mudah benar kalah dengan fikiranku sendiri.
Sedangkan aku tahu, 
masih ada tempat untuk aku mengadu,
dan tempat itu bukan pada manusia.
Ya, hanya pada Yang Maha Pencipta.



Popular Posts